Tindakan dakwa Anwar, 2 lain motif politik

SHAH ALAM (Sinar)- PKR menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa tiga pemimpin parti itu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu

negara pagi ini sebagai satu tindakan terdesak yang bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selain Ketua Umum PKR itu, dua lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret ialah Timbalan Presidennya, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin.

“Peguam Negara sekali lagi bertindak atas perintah¬† Barisan Nasional. Selepas gagal dalam usaha menghalang Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwat, mereka cuba sekali lagi,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, R. Sivarasa dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga pemimpin itu menerima notis saman agar hadir di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur berhubung perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Mereka akan dikenakan tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

“(Nampaknya) sesuatu ketara apabila pendakwaan pertama di bawah Akta Perhimpunan Aman dituju ke atas Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang.

“Jadi, dakwaan terbaru ini yang bermotifkan politik sangat jelas,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Subang dan seorang peguam.

Malah kata beliau, tindakan terbaru ini juga usaha pihak kerajaan untuk menghalang misi Pakatan Rakyat untuk menuju ke Putarajaya dalam PRU13.

“PKR memberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pendakwaan ini sekali lagi memperlekehkan dakwaan beliau bahawa mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia (dengan mengadakan Akta Perhimpunan Aman).

“Kami akan menggerakkan rakyat Malaysia untuk membantah penyalahgunaan yang ketara dan manipulasi institusi-institusi kita,” katanya lagi.