PKR Tolak Pendirian Majlis Syura Ulama PAS Berkaitan Pengunaan Kalimah Allah

20130117-211025.jpgAntarapos.com – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hari ini menolak keputusan Majlis Syura Ulama PAS dan menegaskan PKR berpegang pada pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang 8 Januari lalu yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible versi bahasa Melayu.

Azmin juga menegaskan, pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat telah sebulat suara menerima pendirian Abdul Hadi yang membenarkan semua agama menggunakan kalimah suci itu tanpa menterjemahkannya ke bahasa lain dan tidak boleh disalahgunakan.

“Pendirian ini tuntas dengan pendirian Pas pada 2010, tidak berganjak walaupun perkara ini dibincangkan semula oleh kerana beberapa kenyataan, tetapi pendirian Pas dan PR tidak berubah. Kita tidak boleh tukar pendirian setiap hari,” kata beliau kepada pemberita di ibu pejabat PKR, di sini hari ini.

Azmin juga menjelaskan keputusan itu dicapai berdasarkan persetujuan bersama secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Presiden PR pada 8 Januari lalu dalam banyak perkara dengan mengambil kira kepentingan bersama.
“Oleh kerana kita terikat dengan dasar-dasar yang telah dipersetujui secara kolektif dalam majlis presiden PR, maka kita berpegang kepada keputusan itu,” katanya.

Azmin kemudiannya berkata Majlis Syura Ulama PAS hanya sebahagian daripada struktur organisasi PAS dan kedudukan itu tidak langsung mempengaruhi pegangan PKR berhubung isu itu.

“Majlis Syura terikat dengan ahli-ahli Pas, tetapi kita Keadilan (PKR), DAP dan Pas, kita terikat dengan dasar bersama yang telah dipertimbang, dibincang, dilulus dan disahkan dalam Majlis Presiden PR,” jelasnya.

Bagaimanapun Azmin tidak menolak pandangan yang dilontarkan Majlis Syura sebagai menghormati hak berdemokrasi dan hak bersuara mana-mana pihak.

“Pandangan Majlis Syura harus kita hormati, kita tak boleh halang orang daripada bercakap,” katanya.

Ahad lalu, mesyuarat Majlis Syura Pas memutuskan supaya kalimah ALLAH tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu selepas isu berkenaan dibantah pelbagai pihak.

Mesyuarat yang dipengerusikan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyatakan perkataan ‘God’ atau ‘Lord’ dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna, tidak menepati kehendak sebenar dan perlu dicegah kerana membawa kekeliruan yang nyata.