Ketua Pemuda Pas Tidak Patut PerLekeh Lawatan Pm Ke Gaza

20130124-184027.jpg

TEMERLOH: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan tidak sepatutnya memperlekeh lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Palestin bagi memberi sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin membebaskan negara mereka daripada Israel.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Nasrudin sebenarnya iri hati kerana lawatan Perdana Menteri mendapat sambutan luar biasa rakyat Palestin dan pemimpin Hamas.

Beliau berkata Nasrudin sepatutnya mengetepikan kepentingan politik dengan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri kerana lawatan itu menunjukkan rakyat negara ini sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

“Sikapnya itu amat tidak matang apabila mencampurkan soal politik dalam negara dengan perjuangan kemanusiaan bagi membebaskan bumi Palestin dan rakyatnya yang dizalimi Israel sejak puluhan tahun lalu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua Pemuda Umno Pahang dalam siri lawatan kerjanya bagi meninjau persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-13 di sini, Khamis.

Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Nasrudin dalam blognya yang mencemuh lawatan Perdana Menteri ke Gaza dengan perkataan kesat.

Dalam perkembangan lain, Khairy malahirkan rasa hairan dengan sikap Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kekal dengan pendirian membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Katanya Anwar sepatutnya tidak menunjukkan sikap percanggahan dengan keputusan Majlis Syura PAS pada 13 Januari bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu.

“Kenyataan bercanggah antara PAS dan Anwar menyebabkan umat Islam terutamanya mereka yang tidak berparti merasa kecewa dan PAS sepatutnya perlu memikirkan semula kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Pemuda Umno akan memberi tumpuan untuk menawan pengundi muda yang masih tidak mempunyai parti dan akan mengundi kali pertama pada pilihan raya umum akan datang bagi menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata Pemuda Umno akan memberi fokus memikat 40 peratus pengundi muda atas pagar daripada keseluruhan pengundi muda semua kaum di seluruh negara.

Sehubungan itu, katanya, jentera pilihan raya pemuda BN perlu mendekati seramai mungkin pengundi muda dengan menggunakan rangkaian media sosial seperti Facebook dan Twitter.

“Selain menggunakan hujah berfakta, Pemuda BN perlu berkempen 24 jam menerusi akses media sosial terutamanya bagi mengesan mereka yang berada di luar kawasan serta melalui aktiviti sukan, masjid, ceramah, kebajikan dan sebagainya,” katanya.

Khairy berkata sokongan golongan muda terhadap BN dan kepimpinan Najib semakin meningkat setiap hari.

“Walaupun kita berpuas hati terhadap respons yang ditunjukkan oleh pengundi muda, namun kita akan terus tingkatkan lagi sokongan golongan itu kepada BN,” katanya. – BERNAMA