Gelombang ‘Nambikei’ Cetus ‘puthiya sakthi’

20130128-160807.jpg

Permasalahan masyarakat India dikendali secara cekap

Ketika negara dilanda demam pilihan raya umum yang semakin panas dan kian memuncak, mampukah gelombang ‘nambikei’ ataupun kepercayaan yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mampu membangkitkan satu ‘puthiya sakthi’ atau satu kuasa politik baru dalam kalangan masyarakat India pada PRU13?
Sejak mengambil alih kepemimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009, Najib sudah mengamalkan satu pendekatan dan pegangan politik terbuka untuk mendekati dan menangani permasalahan masyarakat India di negara ini.

Selepas negara dikejutkan dengan gelombang ‘Makkal Sakthi’ yang menggegarkan dan menggoncang arena politik negara pada PRU 2008, masyarakat India semakin berani dan lantang menyuarakan segala pandangan mereka.

Bangkit kesedaran

Tidak dinafikan, semangat itu membangkitkan kesedaran politik dalam kalangan mereka untuk berjuang membela nasib kaum mereka di negara ini yang boleh dikatakan masih ‘ketinggalan’ berbanding kaum lain seiring dengan proses pembangunan negara, khususnya dalam bidang ekonomi.

Dalam masa empat tahun ini, kita telah menyaksikan pelbagai peristiwa politik yang perlu direnung bersama secara rasional demi masa depan yang lebih baik dan terjamin.
Persoalannya, sejauh mana kekuatan kuasa politik masyarakat India di pihak kerajaan dan juga pembangkang?

Mampukah pemimpin politik yang mewakili parti pemerintah dan pembangkang dapat mempertahankan kuasa politik masing-masing selepas PRU13?. Apakah status politik masyarakat India di negara ini selepas PRU13?

Apa akan berlaku kepada mereka jika masyarakat India hilang kuasa ataupun gagal memiliki kuasa politik yang mantap?

Perlu diingat, situasi politik negara tidak seperti 2008. Keputusan PRU 2008 tidak boleh dijadikan modal politik oleh mana-mana parti. Apa yang berlaku pada PRU 2008 adalah pengajaran politik untuk komponen BN yang selesa dan selamat sebelum ini untuk melakukan perubahan seiring dengan tuntutan zaman dan masa.

Dalam tempoh empat tahun ini, jika kita menyelak semua akhbar Tamil mahupun saluran media alternatif, kenyataan bersifat cabar-mencabar antara satu sama lain, kritikan yang tidak membina, tuding jari serta banyak tindakan kurang sihat menguasai pentas politik negara dalam kalangan pemimpin politik berketurunan India.

Pada masa sama, mereka sering melaungkan pentingnya perpaduan dalam kalangan masyarakat India di negara ini. Akhirnya segala-galanya dipolitikkan demi kepentingan diri.

Justeru, menjadi tanggungjawab semua pihak untuk merenung masa depan masyarakat India di negara ini dalam konteks lebih praktikal dan serius. Tidak dinafikan Najib memberikan harapan baru kepada masyarakat India di negara ini menerusi pelbagai pendekatannya seiring dengan prinsip Perdana Menteri untuk semua kaum.

Agak sukar untuk seseorang melafazkan ungkapan ‘minta maaf’, lebih-lebih lagi ketika seseorang itu berada dalam jawatan tertinggi. Namun, Najib tidak pernah mencari alasan untuk menuding jari kepada pihak lain disebabkan beberapa kesilapan lalu.

Teruskan mandat

Beliau tidak pernah menuding jari kepada kepemimpinan negara yang lalu disebabkan kekalahan BN yang ‘luar biasa’ pada PRU12. Beliau meneruskan mandat yang diamanahkan kepadanya oleh Tun Abdullah dalam peralihan kuasa yang sempurna dan sistematik pada 2009.

Namun, Najib mengulangi berkali-kali dan mengakui beberapa kesilapan, kealpaan serta kelemahan kerajaan lalu memohon maaf secara terbuka, termasuk dengan masyarakat India.

Beliau jujur dan ikhlas mahu membantu masyarakat India. Bagi memastikan segala permasalahan kaum India dapat ditangani dengan cekap, Najib menubuhkan Jawatankuasa Kabinet mengenai masyarakat India.

Beliau turut memperuntukkan satu lagi jawatan Menteri Kabinet kepada MIC dan melantik Presidennya, Datuk Seri G Palanivel sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri serta Menteri Peneraju Sosioekonomi masyarakat India bagi memperkasakan lagi pembabitan kaum India dalam ekonomi.

Beliau melakukan pelbagai tindakan proaktif untuk menyelesaikan masalah masyarakat India dalam soal pendidikan, kebajikan, ekonomi dan sebagainya. Saluran peruntukan juga diberikan ‘tanpa kawalan dan sekatan’ kepada kuil, sekolah, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

Ketika negara dipenuhi ramai pemimpin politik bersikap retorik, syok sendiri dan cakap tak serupa bikin, Najib membuktikan dirinya seorang pemimpin boleh diyakini untuk memperjuangkan nasib masyarakat India untuk masa depan lebih terjamin.

Penulis ialah Penganalisis Politik dan Perunding Media