Ekonomi

KDNK Malaysia kekal 5 peratus

 

KUALA LUMPUR 9 Jan. – Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak lima peratus tahun ini meskipun dengan permintaan luaran yang lemah, kata Frost & Sullivan.

Rakan dan Ketua Amalan Automotif dan Pengangkutan, Asia Pasifiknya, Kavan Mukhtyar berkata, pertumbuhan itu akan dipacu oleh prestasi kukuh dalam industri minyak dan gas dan pembinaan.

“Banyak projek infrastruktur yang besar di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) seperti Iskandar Malaysia di Johor, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) semakin baik momentumnya.

“Projek-projek kediaman persendirian di dalam negara turut pesat berkembang dan ini akan merancakkan pertumbuhan,” kata beliau dalam taklimat media mengenai tinjauan industri automotif hari ini.

Mukhtyar menjangkakan industri pembinaan akan mencatatkan 11 peratus pertumbuhan tahun ini, berbanding 15 peratus tahun lepas.

Industri perlombongan dan kuari dijangka berkembang sebanyak tiga peratus tahun ini dengan sektor minyak dan gas sebagai penggerak utama, kata beliau sambil menambah yang harga-harga minyak global mungkin meneruskan trend menaiknya tahun ini.

Pemulihan ekonomi global yang dijangkakan tahun ini berserta dengan pelaburan hiliran untuk jangka panjang akan membantu merancakkan permintaan untuk komoditi itu.

“Kami menjangkakan ekonomi global akan mula pulih tahun ini terutamanya dalam negara-negara pengguna besar seperti AS dan Jepun, yang ditadbir oleh kerajaan baharu. Jadi, di situ terdapat desakan untuk pemulihan ekonomi.

“Sudah pastinya, 2013 adalah lebih baik sedikit daripada 2012 tetapi ia tidak mampu membantu melindungi kekangan tidak menentu yang kita lihat di pasaran,” kata beliau.

Mengenai industri lain, Mukhtyar menjangkakan pembuatan akan mencatatkan pertumbuhan lima peratus dan perkhidmatan enam peratus, disumbangkan oleh pengguna domestik, aktiviti pengembaraan dan pelaburan yang kukuh. – Bernama

© 2013 KLXPRESS. All rights reserved.
KLXPRESS 2013