KUALA LUMPUR,Masa depan pendidikan generasi muda akan tergadai sekiranya rakyat silap memilih kerajaan yang hanya pandai bermain kata-kata, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana, Datuk Ahmad Maslan.
Beliau berkata kegagalan kerajaan Selangor menguruskan Universiti Selangor (Unisel) jelas menunjukkan mereka sekadar bijak berkata-kata tetapi tidak pandai mentadbir.
“Inilah satu lagi siri kegagalan pembangkang dalam menguruskan pendidikan rakyat,” katanya pada sidang media sempena majlis Pelancaran Tabung Amal Kelab Merdeka Muda Kuala Lumpur dan Selangor (Kemuda) di sini Jumaat.
Beliau mengulas demonstrasi oleh lebih 100 pekerja Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), yang menguruskan kediaman penuntut Unisel di Bestari Jaya, Selangor, yang menuntut gaji daripada universiti milik kerajaan negeri itu.
Demonstrasi tersebut diadakan ekoran kegagalan Unisel membayar kos penyelenggaran kampus induk dan lapan buah asrama yang telah tertunggak sebanyak 17 bulan.







