PETALING JAYA , Pengurus Arsenal FC, Arsene Wenger berazam mahu mengulangi kemenangan ke atas pasukan negara pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, Selasa ini.
Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu berjaya mengatasi skuad kebangsaan, Harimau Malaya, 4-0 pada pertemuan di stadium sama ketika dalam siri Jelajah Asia mereka tahun lepas.
“Sudah pasti kami datang ke sini untuk menang kerana ia adalah sebahagian daripada persiapan menjelang musim baru EPL bulan depan namun saya lihat akan menerima saingan sukar dengan barisan pemain baharu,” katanya pada sidang media, di sini.
Sidang media itu turut disertai oleh jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arsenal FC, Ivan Gazidis dan penjaga gol Arsenal Wojciech Szczesny dan pemain tengah Alex Oxlade-Chamberlain.
Mengulas ketiadaan beberapa bintang pasukan itu pada Jelajah Asia kali ini, Wenger berkata mereka masih dirudum masalah kecergasaan dan sedang berusaha mengatasinya sebelum musim EPL bermula.
Sementara itu, Rajagobal berharap anak buahnya akan menampilkan persembahan terbaik pada perlawanan tersebut sebagai persediaan bagi mempertahankan Kejuaraan Piala AFF Suzuki pada November ini.
Pasukan Arsenal dengan nama jolokan ‘Gunners’ akan mengakhir siri Jelajah Asia dengan menentang pasukan Hong Kong, Kitchee FC sebelum pasukan Liga Super China, Hangzhou Greentown.
– BERNAMA







