KUALA TERENGGANU – Penolong Setiausaha Agung Pas, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi membela Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyifatkan kenyataan mutakhir pemimpin itu mahu berundur jika gagal dalam misi pilihan raya bukan gimik politik.
Sebaliknya, beliau melihat Anwar sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila tetap dengan pendirian bersara daripada politik sekiranya Pakatan Rakyat (PR) gagal menawan
Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Beliau berkata, tindakan sedemikian pernah dilakukan pemimpin-pemimpin negara asing lain yang tidak mampu mengekalkan kemenangan bagi pihak masing-masing.
“Tidak timbul soal gimik politik. Kalau kita lihat banyak contoh-contoh sebelum ini yang dilakukan pemimpin-pemimpin negara lain yang berjiwa besar dan berundur daripada kepimpinan apabila kalah,” katanya kepada Sinar Harian di sini.







